Wednesday 30 March 2011

KELAHIRAN

Pengenalan

Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, adalah dipercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing, justeru itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini, masyarakat Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun. Ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung, sewaktu bersalin dan selepas lahir.

Sewaktu Mengandung
Adat melenggang perut juga dikenali kirim perut oleh masyarakat melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan yang berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut. Seterusnya, adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita tadi bersalin. Setelah acara itu selesai bidan akan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang sehelai di atas sehelai yang lain. Bidan akan mengurut ibu yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak urut. Bidan mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu menggulingkannya perlahan-lahan di atas perut terus ke hujung kakinya sebanyak tujuh kali. Sekiranya kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke atas, anak yang dikandungnya adalah lelaki dan perempuan jika sebaliknya.

Akhirnya bidan akan melenggangkan setiap helai kain tersebut pada perut wanita hamil itu. Mengikut adatnya, kain yang di bawah sekali diberikan kepada bidan beserta dengan peralatan upacara tadi. Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa selamat akan diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan pakaian baru. Dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.

Sewaktu Bersalin
Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga berkenaan. Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan bulan sepuluh hari. Tetapi adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga sepuluh hingga dua belas bulan yang dipanggil bunting kerbau. Mengikut kepercayaannya juga daun mengkuang berduri akan digantung di bawah rumah dan kapur akan dipangkah pada tempat-tempat tertentu di dalam rumah wanita yang hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Di samping itu juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa menyambut kelahiran ini.

Selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas. Baki tali pusat di perut bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus dengan daun sirih yang telah dilayukan di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal sendiri.
Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya manakala bayi perempuan akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi tersebut akan melakukan upacara ini. Ia bukanlah satu adat, sebaliknya lebih merupakan amalan berunsur keagamaan.

Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa berpantang yang bermaksud larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar pantang, mereka akan mengalami bentan atau sakit sampingan. Tempoh berpantang lazimnya berlangsung selama empat puluh empat hari dikira dari hari mula bersalin dan ada juga yang berpantang selama seratus hari. Dalam tempoh ini wanita tersebut dilarang dari makan sebarang makanan mengikut kehendaknya atau berbuat apa-apa kerja yang memerlukan banyak pergerakan. Antara makanan yang dilarang keras ialah yang boleh mengakibatkan kegatalan diseluruh anggota badan seperti udang, kerang, ketam dan ikan pari serta memakan ikan yang mempunyai sengat seperti ikan keli, sembilang dan baung kerana ia boleh menyebabkan bisa-bisa pada badan. Sebaliknya mereka digalakkan memakan nasi dengan ikan haruan yang dibakar atau direbus dan dibenarkan minum air suam atau susu.


Selepas Bersalin
Selepas kelahiran terdapat beberapa adat tertentu yang dijalankan. Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga dipanggil adat naik buai kerana selagi bayi itu belum tanggal pusatnya, dia tidak boleh dibuaikan dan akan tidur disamping ibunya. Adat ini seelok-eloknya dilakukan pada hari Isnin atau Khamis. Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Selepas itu bidan akan memulakan jampi serapahnya sambil memegang ayam dengan cara mengais-ngaiskan kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin. Seterusnya lantai itu akan dibersihkan. Mak bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum itu, si ibu dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara tersebut, bahan yang digunakan tadi beserta sedikit wang akan dihadiahkan kepada bidan tersebut.

Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan dipilih.  Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut. Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan. Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih. Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu dihias, umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelillingnya.

Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Orang Islam yang berkemampuan disunatkan menyembelih ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau sebagai akikah anak yang baru lahir. Seorang anak disunatkan berakikah sekali sahaja seumur hidup. Terdapat syarat-syarat tertentu dalam memilih haiwan untuk akikah dan jumlah ternakan untuk akikah juga berbeza mengikut jantina bayi. Bagi bayi lelaki akikahnya ialah dua ekor kambing dan seekor kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah adalah sebagai permulaan kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain.

No comments:

Post a Comment